Wednesday, May 2, 2012

BENGKEL NADWAH (NKI), DAN PEMURNIAN KHUTBAH SERTA DOA HARI GURU 2012



Bengkel penyelarasan Modul Nadwah Kepemimpinan Islam (NKI) telah diadakan di Glory Beach Resort, Port Dickson. Ia diadakan bagi menyelaraskan modul-modul yang digunakan di peringkat kebangsaan.

Pada waktu yang sama, satu lagi kumpulan panel turut bertungkus lumus untuk memurnikan teks khutbah Jumaat serta doa sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2012. Moga segala jasa baik para panel mendapat ganjaran setimpal dari Allah.

Berikut adalah beberapa foto kenang-kenangan sewaktu program tersebut berlangsung.

Taklimat oleh Ustaz Mohamad Sayuti Omar, Desk Officer

BICARA WAHYU BPI-KPM SIRI 1/2012

Siri Bicara Wahyu siri 1/2012 telah berlangsung dengan lancarnya. Ini berkat berjasama jawatankuasa kerja yang diketuai oleh pegawai mejanya Ustaz Zamri Mohd Noor. Program kali ini menampilkan Ust Mohammad Zaini b Yahya dari UKM. Moga sambutan Maulidur Rasul kali ini diberkahi Allah atas niat hamba-Mu mencontohi keperibadian Junjungan Baginda SAW.

Sesi pendaftaran berlangsung dengan lancar. Moga usaha murni ini mendapat keredhaan Allah

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2012


Majlis Maulidur Rasul Kementerian Pelajaran Malaysia Tahun 1433H/2012M dengan Tema "PERSEFAHAMAN ASAS PERPADUAN UMMAH" telah diadakan pada 14 Februari 2012 (Selasa). Majlis ini dimulakan dengan perarakan dari Padang Taman Gelora, Kuantan manakala Majlis Perasmian berlangsung di Dewan Konvensyen Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

Berikut adalah beberapa rakaman lensa yang sempat dirakamkan oleh jurufoto professional PDSI:

Pasukan yang mantap adalah hasil daripada latihan yang hebat. Wajah para pegawai BPI yang giat menjalani latihan kawad.



Wajah para ahli kontinjen BPI yang menyertai perarakan Maulidur  Rasul

BINGKISAN ROHANI: BAGAIKAN SATU JASAD


BAGAIKAN SATU JASAD
CUBIT PAHA KANAN, PAHA KIRI TERASA SAKIT


Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya: Daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a., Nabi s.a.w. bersabda : Sesungguhnya seorang mukmin kepada mukmin yang lain adalah seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain.”-Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Dalam satu peribahasa melayu pernah menyatakan bahawa cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit. Itu suatu pernyataan untuk menggambarkan betapa akrabnya sebuah hubungan. Saling melengkapi antara satu sama lain. Senang sama diharungi. Susah sama pula dilalui. Bagaikan ketika kita ini sakit gigi dan senak perut, maka seluruh badan akan terasa ngilu dan senaknya.

Sebagai muslim, kita ini bersaudara. Siapa pun kita, masih dari rumpun yang sama. Sama-sama mengejar keredhaan Ilahi. Lantas harusnya saling sokong-menyokong. Mana yang miskin dibantu. Mana yang papa diberi kudrat. Bagi yang kaya , tidak lupa tanggungjawabnya kepada yang susah.

Di dalam hidup berkerjaya, kita masih perlu berpegang kepada konsep ‘bagaikan satu jasad’. Adakalanya sahabat dan teman sekerja punya tanggungjawab mahupun tugasan yang harus dibantu. Tidak kira kita bertugas di Kementerian, jabatan mahupun di sekolah. Istimewanya kita ini, apabila dianugerahi Allah sedikit kelapangan dan kemampuan. Apatah lagi kita  ini punya kemahiran pelbagai. Maka itu mungkin jalan kepada kita beroleh pahala. Lantas, jangan kita terlalu  berkira untuk membantu teman yang lain.  

Ingatlah, setinggi mana pun jawatan dan pangkat kita, akhirnya nanti hanya kain kapan putih yang akan membaluti diri. Tiada istimewanya kita di sisi Allah  berbanding yang lain melainkan ketaqwaan yang dimiliki.  Allah berfirman di dalam al-Qur’an berbunyi:



Maksudnya:Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” -al-Hujurat : 13

Lantas, atas dasar itu, mari kita buang rasa ego dan berkira di dalam tugas. Mari bertindak cara Rasulullah s.a.w. mengajar kita. Lihat sahaja keakraban sahabat baginda s.a.w. yang sangat ikhlas dan saling bantu membantu sahabatnya yang lain. Keihlasan sahabat nabi s.a.w. Abu Bakar r.a. yang menginfakkan hartanya buat memtarabatkan Islam di muka bumi. Lihat juga bagaimana golongan Ansar dan Mujahirin yang saling lengkap melengkapi. Apakah tidak cukup untuk kita gambarkan kesatuan hati-hati mereka? Mereka boleh sahaja mengatakan “aku daripada golongan bangsawan, sedangkan dirimu berbangsa badwi”. Tetapi ketaqwaan yang dibina menjadi bagaikan suatu binaan batu-bata yang sangat kuat menyatukan hati mereka.

Maka benarlah pesanan Baginda s.a.w. dalam hadisnya yang berbunyi:
Ertinya: Daripada Nu’man bin Basyir r.a., Nabi s.a.w. bersabda: Kemesraan, kasih sayang, dan saling berbelas, kasihan antara orang mukmin  diibaratkan seperti satu jasad; apabila satu anggota mengadu kesakitan seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar.-Riwayat al-Bukhari dan Muslim.


Tip membantu rakan dalam tugas:
1.    Ringankan tulang untuk membantu teman yang yang lain.
2.    Rajin menawarkan pertolongan sebelum kudrat anda ditagih.
3.    Tidak terlalu berkira dan meminta-minta balasan sebagai imbuhan.
4.    Jangan mudah merungut di atas pelbagai tugasan yang diamanahkan
5.    Ingatlah pesanan ini: kerja itu suatu ibadah.

 

CARTA ORGANISASI PENGURUSAN DAKWAH DAN SYIAR ISLAM, BAHAGIAN PENDIDIKAN ISLAM KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


SYIAR DAKWAH

Pengurusan Dakwah dan Syiar Islam, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia kini mula mengorak langkah ke hadapan. Wadah informasi serta maklumat terkini akan dimuatnaik ke blog PDSI ini.

Sesungguhnya perjalanan ke puncak bermula daripada langkah yang satu. Moga dengan wujudnya blog ini ia menjadi wadah sebaran ilmu dan dakwah kepada semua. Apa yang baik moga menjadi ikutan. Usaha yang sekecil mana pun jika dimanfaatkan sebaik-baiknya akan dapat memberikan yang terbaik kepada usaha menyubur minda dan dakwah.

Moga dakwah akan terus subur melata ke seluruh alam.