Tuesday, November 27, 2012

BENGKEL PENGGUBALAN SOALAN DAN BAHAN PERTANDINGAN MAJLIS IHTIFAL SEKOLAH-SEKOLAH (MISS) 2013



Kuala Lumpur-Bengkel Penggubalan soalan Pertandingan dalam MISS 2013 berlangsung di Hotel Brisdale Kuala Lumpur pada 26-29 November 2012. Ia bertujuan bagi menggubal soalan-soalan pertandingan Majlis Ihtifal Sekolah-Sekolah (MISS).

Sekumpulan pakar dalam bidang al-Qur'an, Pendidikan Islam, Qiraat berkampung dalam misi menyediakan jaminan kualiti terbaik kepada soalan-soalan yang disediakan.

Moga kualiti  pertandingan MISS 2013 akan  meningkat dengan terhasilnya soalan-soalan bermutu tinggi.

Didoakan para penel yang terlibat dapat menghasilkan soalan-soalan bermutu tinggi selaras dengan hasrat menjayakan MISS.


Sunday, November 25, 2012

BENGKEL PENULISAN DAKWAH ZON UTARA

SUNGAI PETANI-19-21 NOVEMBER-Bengkel Penulisan Dakwah dan Penghasilan Karya Islami Zon Utara telah diadakan di Hotel Aman Pura .

Ia melibatkan para penulis daripada negeri Kedah, Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Seramai 30 orang peserta terlibat menjayakan bengkel tersebut. Mereka dipilih berdasarkan pencalonan negeri dan berpandukan database penulis GPI Kebangsaan.

Misi kali ini untuk menghasilkan Buku Travelog GPI ke-2. Ia misi menyediakan kisah inspirasi buat tatapan para guru.

Rata-rata peserta bersemangat untuk berkarya apatah lagi setelah mendengar ceramah motivasi penulisan oleh Ustaz Shopuan Anuar dan Ustaz Sahrulazmi Sidek.

Ustaz Shopuan Anuar Ahmad, Ketua Unit Dakwah, SPI Selangor
Ustaz Sahrul azmi Sidek, Penulis Prolifik 



Turut disertai para pegawai dakwah SPI   

Para Ustazah sedang mencari idea

Moga penulisan dakwah akan terus menjadi fokus para daie. Tahniah kepada semua peserta

Wednesday, October 31, 2012

MAJLIS KHATAM AL-QUR'AN DAN PERTANDINGAN KALAM JAMAIE PERINGKAT KEBANGSAAN 2012




Berani Merancang

Jika kita gagal merancang, bermakna kita merancang untuk gagal.

Atas prinsip itu, warga PDSI berkampung di MITC Permaisuri Melaka dalam rangka melihat kembali pelaksanaan SKT tahunan di samping merancang gerak kerja tahun 2013.



Pelbagai aspek akan dibincangkan demi memastikan apa yang dirancang dilaksanakan sebaiknya. Malah berakhirnya 2012 sebenarnya permulaan untuk 2013 yang lebih gemilang.

Selamat bermuzakarah demi dakwah yang lebih mencabar pada tahun 2013.

Monday, September 24, 2012

KURSUS KUMPULAN INOVASI DAN KREATIVITI (KIK) BAHAGIAN PENDIDIKAN ISLAM KPM


Bengkel Kumpulan Inovasi dan Kreativiti (KIK) BPI KPM telah diadakan di Intekma Resort Shah Alam pada 24-26 September 2012.

PDSI diwakili oleh Ustaz Hairon, Ustaz Najah, Ustaz Ruzain Syukur, Ustaz Zamri, Puan Zainab dan Cik Salima.

Kumpulan KIK yang mewakili PDSI dibentuk dan sedang dalam proses mencadangkan beberapa penambahbaikan kepada aspek pengurusan rekod dan database dakwah. Moga-moga usaha inovasi dan kreativiti ini dapat memantapkan lagi segala usaha dakwah.

Mari kita doakan grup KIK PDSI ini dapat menyiapkan projek inovasinya berkat bimbingan daripada fasilitator.

Wednesday, September 5, 2012

SAYEMBARA PENULISAN TAZKIRAH ANJURAN KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA PERINGKAT KEBANGSAAN

SAYEMBARA PENULISAN TAZKIRAH SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA PERINGKAT KEBANGSAAN 1434 HIJRAH



Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia menganjurkan Sayembara Penulisan Tazkirah Peringkat Kebangsaan Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1434 H. Ia terbuka kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan kakitangan yang berkhidmat di sekolah dan institusi pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Panjang bagi satu karya tazkirah  tidak melebih 2 muka surat . Tazkirah yang ditulis adalah berdasarkan tajuk yang relevan dengan bidang Akidah/ Ibadah/ Adab dan Akhlak/ Pendidikan/ Sirah/ Isu-semasa dan lain-lain. Ia juga mesti mengandungi mesej dakwah dan nilai tarbiah serta disokong dengan dengan dalil.
Syarat pertandingan sayembara  beserta Borang Penyertaan dan Pengakuan Keaslian Karya boleh dimuat turun daripada link berikut:



Tarikh tutup sayembara ini ialah pada 30 September 2012.

Hantarkan penyertaan anda ke alamat email:  sayembaratazkirahkpm@gmail.com    Untuk maklumat lanjut sila hubungi Penyelaras  Sayembara, Ustaz Ruzain Syukur b Mansor, Penolong Pengarah Sektor Dakwah dan Kepimpinan Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia:

Nombor telefon   :  019-2103267                                                                                   Email                   :     ruzainsyukur@gmail.com

Wednesday, August 29, 2012

BICARA WAHYU BIL 10/2012

MAJLIS BACAAN YASIN, TAHLIL DAN DOA SELAMAT SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN NEGARA KE-55 PERINGKAT KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2012



MAJLIS BACAAN YASIN, TAHLIL DAN DOA SELAMAT SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN NEGARA KE-55 PERINGKAT KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2012

TARIKH: 30 OGOS 2012 (KHAMIS)
MASA: 2.00-5.30 PETANG
TEMPAT: SEKOLAH SULTAN ALAM SHAH PUTRAJAYA


Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena kemerdekaan Negera ke-55 Peringkat KPM telah dilaksanakan dengan jayanya. Program tahunan ini diadakan dengan matlamat untuk menyuburkan rasa syukur terhadap nikmat keamanan dan dan kemerdekaan. Majlis ini diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Ia turut dihadiri oleh Pengarah dan Setiausaha Bahagian Kementerian Pelajaran Malaysia.

Wakil-wakil Bahagian Kementerian Pelajaran Malaysia serta Guru Pelatih daripada IPGM Perguruan Islam Bangi turut memeriahkan majlis. Ia turut melibatkan kehadiran guru-guru dan pelajar Sekolah Sultan Alam Shah. Selain berdoa kepada Allah, para hadirin turut berpeluang mendengar ceramah yang bertajuk "Syukuri Nikmat Kemerdekaan Menurut al-Qur'an dan Sunnah" yang disampaikan oleh Dr Khairul Nizam b Zainan Nazri, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Berikut disertakan gambar-gambar ketika program berlangsung:

Pegawai Meja, Ustaz Ruzain Syukur b Mansor, menyampaikan  perkembangan terkini kepada Tn Pengarah BPI

Kehadiran TKPPM (Operasi Pendidikan) diiringi oleh Pengarah BPI dan Pengarah Jabatan Pelajaran Putrajaya

Ucapan alu-aluan oleh Tn  Pengarah BPI
Doa dipohon agar kesejahteraan dan keamanan terus kekal.


Majlis Bacaan yasin dan Tahlil serta Doa Selamat

Bacaan Yasin dan Tahlil diketuai oleh Ustaz Zulhazmi, daripada IPPI, BPI
Para Pelajar Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya

Thursday, August 23, 2012

BICARA WAHYU 5/2012-BIAR SAMPAI KE SYURGA

Siri Bicara Wahyu Siri ke-5/2012 telah diadakan pada 6 Julai 2012. Siri kali ini menampilkan Ustaz Zulkefli b Hamat , daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI). Topik yang dipilih berkait rapat dengan persoalan pemantapan iman dan hubung kait dengan ibadah sebagai seorang Muslim.

Rata-rata para peserta yang merupakan Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pelajaran Malaysia mendapat input yang bermanfaat dalam usaha meningkatkan iman dan takwa.


Peserta yang hadir sedang mendengar ceramah yang disampaikan.
Barisan Ketua Sektor di BPI bersama Tuan penceramah

Ustaz Zulkefli b Hamat, antara Mursyid Imam Muda Musim ke-2



SEMARAK WAHYU FESTIVAL NASYID PERINGKAT KEBANGSAAN 2012

SEMARAK WAHYU FESTIVAL NASYID
FESTIVAL NASYID SEKOLAH-SEKOLAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-8 TAHUN 2012 M / 1433 H

KOTA BHARU 28 JUN 2012- Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali ke-8 tahun 2012 melabuhkan tirainya dalam suasana  harmoni dan meriah. Ia berlangsung di negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan Darul Naim bermula dari 25 hingga 28 Jun 2012. Pertandingan berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan, Tanjung Chat, Kota Bharu Kelantan. Festival tahunan tersebut dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia . Pada tahun ini, negeri Kelantan dipilih  menjadi tuan rumah. Tema Festival Nasyid kali ini ialah  al-Qur’an Menjana Transformasi Ummah.
Sebanyak 15 buah pasukan mewakili kontinjen negeri masing-masing bertanding bagi kategori nasyid sekolah menengah. Manakala 15 buah lagi pasukan menyertai pertandingan bagi kategori sekolah rendah. Setiap pasukan  telah menampilkan variasi dalam persembahan nasyid tersebut.

Foto: Tuan haji Hussin b Awang sedang menyampaikan ucapan ketika  merasmikan Festival Nasyid
Perasmian Festival Nasyid disempurnakan oleh Tuan Haji Hussin bin Awang, Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan. Dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan kesemua kontinjen negeri negeri yang bertanding ke negeri Kelantan.
Antara objektif Festival nasyid ini diadakan ialah untuk menjadikan nasyid sebagai medium dakwah ke arah memupuk minda murid agar mengamalkan cara hidup Islam. Selain itu, nasyid berperanan sebagai alternatif kepada murid untuk menghayati seni muzik yang bersesuaian dengan landasan syarak. Secara tidak langsung, nasyid menjadi media pengajaran dan pembelajaran yang menarik untuk meningkatkan keberkesanan Pendidikan Islam.

            Setiap kumpulan mempersembahkan dua buah nasyid. Nasyid pertama berirama tradisional dengan menjadikan tema al-Qur’an sebagai suatu sumber bagi penjanaan transformasi ummah. Manakala nasyid kedua berunsurkan isi sukatan pelajaran Pendidikan Islam KSSR atau KBSM disampaikan mengikut irama kontemporari. Kedua-dua nasyid yang dibawa mempunyai nilai-nilai murni dan akhlak Islami yang bertindak sebagai hiburan alternatif kepada golongan muda. Selain itu ia bertindak sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran  Pendidikan Islam.
            Gabungan antara perkusi moden dan tradisional mengiringi kehebatan suara harmoni setiap pasukan yang bertanding. Ternyata setiap pasukan memiliki ramuan terbaik dalam memikat  hati juri. Persembahan diadili  daripada sudut suara, lagu, lirik dan persembahan. Seramai 18 orang hakim mengadili pertandingan kali ini.

Foto: Jemaah  hakim sedang  melakukan penilaian dan penjurian terhadap persembahan peserta.

WEB PENGURUSAN DAKWAH & SYIAR ISLAM , BAHAGIAN PENDIDIKAN ISLAM KPM: AKTIVITI DAKWAH PERINGKAT KEBANGSAAN 2012

WEB PENGURUSAN DAKWAH & SYIAR ISLAM , BAHAGIAN PENDIDIKAN ISLAM KPM: AKTIVITI DAKWAH PERINGKAT KEBANGSAAN 2012: TAKWIM AKTIVITI DAKWAHPERINGKAT KEBANGSAAN ANJURAN PENGURUSAN DAKWAH DAN SYIAR ISLAM KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2012 BIL TAR...

Tuesday, June 5, 2012

Majlis Tadarus al-Qur'an Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran 2012

Majlis Tadarus al-Qur'an Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran 2012 (MTQ) telah diadakan pada 25-28 Mei 2012. Ia diadakan di SM Teknik dan Vokasional Kuantan Pahang. Beberapa kategori pertandingan telah dipertandingkan antaranya Tilawah al-Qur'an, Hafazan, Syarahan dan Bercerita Kisah al-Qur'an. Para peserta telah menunjukkan peningkatan dari segi kualiti persembahan.

Sekalung ucapan terima kasih kami kepada pihak Jemaah Hakim, para urusetia dan semua pihak yang terlibat. Tidak lupa juga kepada pihak tuan rumah Negeri Pahang Darul Makmur yang telah memberikan layanan dan kerjasama sebaiknya sepanjang program berlangsung.

Berikut beberapa foto untuk tatapan bersama:
Ucapan Tuan Pengarah BPI Tn Hj Abdullah b Md Din sewaktu Malam Semarak Wahyu

Barisan tetamu -Malam Semarak Wahyu

MAJLIS BICARA WAHYU SIRI 4/2012

Majlis Bicara Wahyu siri 4/2012 kendalian PDSI telah diadakan pada 11 Mei 2012 bertempat di Dewan Serbaguna Aras 9, Blok E12 Putrajaya. Tuan Haji Mohd Hafizi b Muhammad, Ketua Sektor Dakwah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan telah menyampaikan pengisian bertajuk "menerobos Sempadan Diri". Gabungan pengalaman sebagai penceramah dan pendidik telah memberikan kelebihan kepada Tn Hj Mohd Hafizi menyampaikan ceramah dengan berkesan. Isu pembangunan diri telah dikupas daripada aspek agama dan mendapat respon yang baik daripada peserta.

Berikut merupakan foto program:
Ceramah disampaikan secara santai tetapi berinformatif

Bengkel Pentadbir Portal BPI

Bengkel Pentadbir Portal BPI telah diadakan pada 14 Mei 2012. Ia dihadiri oleh wakil daripada setiap sektor BPI. PDSI diwakili oleh Puan Hajah Norhayati bt Zakaria, Ketua Unit Pengukuhan Syiar, Ustaz  Mohd Zamri b Mohd Noor, Penolong Pengarah Pengukuhan Budaya dan Ustaz Ruzain Syukur b Mansor, Penolong Pengarah Dakwah dan Kepimpinan. Bengkel tersebut memeberikan kefahaman yang jelas mengenai prosedur dan tatacara pengemaskinian portal BPI. PDSI diberi tanggungjawab untuk mengemaskini pengisian kerohanian dalam web portal tersebut.

Berikut adalah foto program.
Sesi taklimat dan penrengan oleh Pegawai Teknologi Maklumat BPI

PROGRAM BICARA WAHYU BIL 3/2012

Program Bicara Wahyu kali ke 3 anjuran PDSI Kementerian Pelajaran Malaysia telah berlangsung pada 13 April 2012 bertempat di Dewan Serbaguna Tingkat 9, E12, Putrajaya. Ustaz Mohd Zamri b Mohamed Noor dari Sektor Pembangunan Nilai dan Akhlak terlibat sebagai pegawai meja bagi siri pembangunan syiar Islam tersebut. Pengisian bagi Program Pengukuhan Budaya dan Syiar Islam tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Izhar Arif yang merupakan Mentor Imam Muda dan Panel Program Halaqah Tv9.

Peserta program merupakan para pegawai di Bahagian-Bahagian Kementerian Pelajaran Malaysia. Ia mendapat sambutan menggalakkan. Tajuk Malam Pertama di Alam Barzakh dikupas dengan baik oleh Tuan Penceramah. Sambutan menggalakkan daripada pegawai di KPM akan menaikkan semangat kami untuk terus membangun minda dan iman.

Berikut antara foto program.
Ceramah oleh Ustaz Mohd Izhar Arif

Monday, June 4, 2012

Pencalonan Penulis Dalam Kalangan Guru Pendidikan Islam


Sektor Dakwah dan Kepimpinan , Bahagian Pendidikan Islam sedang dalam proses untuk mengumpul data Penulis dalam kalangan Guru Pendidikan Islam untuk dimuatkan dalam Direktori Penulis. Justeru, bagi penulis (pengkarya guru) yang memenuhi syarat berikut, digalakkan untuk memberikan maklum balas segera.
Kriteria Pencalonan :
  1. Pernah menghasilkan sebarang bentuk penulisan sama ada jurnal atau buku dengan mana-mana penerbitan awam dan swasta, atau;
  2. Pernah menulis artikel di akhbar atau majalah-majalah, atau;
  3. Aktif menghasilkan bahan penerbitan berbentuk buletin, tazkirah atau seumpamanya di jabatan atau sekolah.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pegawai berikut:

En Ruzain Syukur bin Mansor,
Penolong Pengarah Unit Kepimpinan,
Sektor Dakwah dan Kepimpinan,
Bahagian Pendidikan Islam, KPM
di talian: 03-83217288 (Pejabat)
 019-2103267        (bimbit)

Bagi Penulis yang berminat, sila muaturun dan lengkapkan BORANG PROFIL CALON PENULIS / PENGKARYA GURU PENDIDIKAN ISLAM. Borang boleh dimuaturun di Portal Bahgian Pendidikan Islam di www.bpi.edu.my dengan klik menu Muaturun >> Borang atau klik [ Pencalonan Penulis Penkarya Guru Pendidikan Islam ].
  1. Emel  borang  tersebut (softcopy)  ke ruzainsyukur@gmail.com
  2. Atau Faxkan borang di bawah ke no. fax  03-83217337
Atau, isi borang secara On-Line di sini..https://docs.google.com/spreadsheet/viewform?formkey=dEZIU3hCSDQ0aUpuVVY2RIB
Pada atau sebelum 30 Jun 2012.

Wednesday, May 2, 2012

BENGKEL NADWAH (NKI), DAN PEMURNIAN KHUTBAH SERTA DOA HARI GURU 2012



Bengkel penyelarasan Modul Nadwah Kepemimpinan Islam (NKI) telah diadakan di Glory Beach Resort, Port Dickson. Ia diadakan bagi menyelaraskan modul-modul yang digunakan di peringkat kebangsaan.

Pada waktu yang sama, satu lagi kumpulan panel turut bertungkus lumus untuk memurnikan teks khutbah Jumaat serta doa sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2012. Moga segala jasa baik para panel mendapat ganjaran setimpal dari Allah.

Berikut adalah beberapa foto kenang-kenangan sewaktu program tersebut berlangsung.

Taklimat oleh Ustaz Mohamad Sayuti Omar, Desk Officer

BICARA WAHYU BPI-KPM SIRI 1/2012

Siri Bicara Wahyu siri 1/2012 telah berlangsung dengan lancarnya. Ini berkat berjasama jawatankuasa kerja yang diketuai oleh pegawai mejanya Ustaz Zamri Mohd Noor. Program kali ini menampilkan Ust Mohammad Zaini b Yahya dari UKM. Moga sambutan Maulidur Rasul kali ini diberkahi Allah atas niat hamba-Mu mencontohi keperibadian Junjungan Baginda SAW.

Sesi pendaftaran berlangsung dengan lancar. Moga usaha murni ini mendapat keredhaan Allah

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2012


Majlis Maulidur Rasul Kementerian Pelajaran Malaysia Tahun 1433H/2012M dengan Tema "PERSEFAHAMAN ASAS PERPADUAN UMMAH" telah diadakan pada 14 Februari 2012 (Selasa). Majlis ini dimulakan dengan perarakan dari Padang Taman Gelora, Kuantan manakala Majlis Perasmian berlangsung di Dewan Konvensyen Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

Berikut adalah beberapa rakaman lensa yang sempat dirakamkan oleh jurufoto professional PDSI:

Pasukan yang mantap adalah hasil daripada latihan yang hebat. Wajah para pegawai BPI yang giat menjalani latihan kawad.



Wajah para ahli kontinjen BPI yang menyertai perarakan Maulidur  Rasul

BINGKISAN ROHANI: BAGAIKAN SATU JASAD


BAGAIKAN SATU JASAD
CUBIT PAHA KANAN, PAHA KIRI TERASA SAKIT


Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya: Daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a., Nabi s.a.w. bersabda : Sesungguhnya seorang mukmin kepada mukmin yang lain adalah seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain.”-Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Dalam satu peribahasa melayu pernah menyatakan bahawa cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit. Itu suatu pernyataan untuk menggambarkan betapa akrabnya sebuah hubungan. Saling melengkapi antara satu sama lain. Senang sama diharungi. Susah sama pula dilalui. Bagaikan ketika kita ini sakit gigi dan senak perut, maka seluruh badan akan terasa ngilu dan senaknya.

Sebagai muslim, kita ini bersaudara. Siapa pun kita, masih dari rumpun yang sama. Sama-sama mengejar keredhaan Ilahi. Lantas harusnya saling sokong-menyokong. Mana yang miskin dibantu. Mana yang papa diberi kudrat. Bagi yang kaya , tidak lupa tanggungjawabnya kepada yang susah.

Di dalam hidup berkerjaya, kita masih perlu berpegang kepada konsep ‘bagaikan satu jasad’. Adakalanya sahabat dan teman sekerja punya tanggungjawab mahupun tugasan yang harus dibantu. Tidak kira kita bertugas di Kementerian, jabatan mahupun di sekolah. Istimewanya kita ini, apabila dianugerahi Allah sedikit kelapangan dan kemampuan. Apatah lagi kita  ini punya kemahiran pelbagai. Maka itu mungkin jalan kepada kita beroleh pahala. Lantas, jangan kita terlalu  berkira untuk membantu teman yang lain.  

Ingatlah, setinggi mana pun jawatan dan pangkat kita, akhirnya nanti hanya kain kapan putih yang akan membaluti diri. Tiada istimewanya kita di sisi Allah  berbanding yang lain melainkan ketaqwaan yang dimiliki.  Allah berfirman di dalam al-Qur’an berbunyi:



Maksudnya:Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” -al-Hujurat : 13

Lantas, atas dasar itu, mari kita buang rasa ego dan berkira di dalam tugas. Mari bertindak cara Rasulullah s.a.w. mengajar kita. Lihat sahaja keakraban sahabat baginda s.a.w. yang sangat ikhlas dan saling bantu membantu sahabatnya yang lain. Keihlasan sahabat nabi s.a.w. Abu Bakar r.a. yang menginfakkan hartanya buat memtarabatkan Islam di muka bumi. Lihat juga bagaimana golongan Ansar dan Mujahirin yang saling lengkap melengkapi. Apakah tidak cukup untuk kita gambarkan kesatuan hati-hati mereka? Mereka boleh sahaja mengatakan “aku daripada golongan bangsawan, sedangkan dirimu berbangsa badwi”. Tetapi ketaqwaan yang dibina menjadi bagaikan suatu binaan batu-bata yang sangat kuat menyatukan hati mereka.

Maka benarlah pesanan Baginda s.a.w. dalam hadisnya yang berbunyi:
Ertinya: Daripada Nu’man bin Basyir r.a., Nabi s.a.w. bersabda: Kemesraan, kasih sayang, dan saling berbelas, kasihan antara orang mukmin  diibaratkan seperti satu jasad; apabila satu anggota mengadu kesakitan seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar.-Riwayat al-Bukhari dan Muslim.


Tip membantu rakan dalam tugas:
1.    Ringankan tulang untuk membantu teman yang yang lain.
2.    Rajin menawarkan pertolongan sebelum kudrat anda ditagih.
3.    Tidak terlalu berkira dan meminta-minta balasan sebagai imbuhan.
4.    Jangan mudah merungut di atas pelbagai tugasan yang diamanahkan
5.    Ingatlah pesanan ini: kerja itu suatu ibadah.

 

CARTA ORGANISASI PENGURUSAN DAKWAH DAN SYIAR ISLAM, BAHAGIAN PENDIDIKAN ISLAM KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


SYIAR DAKWAH

Pengurusan Dakwah dan Syiar Islam, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia kini mula mengorak langkah ke hadapan. Wadah informasi serta maklumat terkini akan dimuatnaik ke blog PDSI ini.

Sesungguhnya perjalanan ke puncak bermula daripada langkah yang satu. Moga dengan wujudnya blog ini ia menjadi wadah sebaran ilmu dan dakwah kepada semua. Apa yang baik moga menjadi ikutan. Usaha yang sekecil mana pun jika dimanfaatkan sebaik-baiknya akan dapat memberikan yang terbaik kepada usaha menyubur minda dan dakwah.

Moga dakwah akan terus subur melata ke seluruh alam.